H.A mendapat email daripada penyewa yang tinggal di rumah sewa jenis flat. Beliau inginkan tempat tinggalnya nampak selesa dan cantik walaupun menyewa. Bagi H.A, menghias rumah sewa memang cukup mencabar kerana ia bukan milik kita, hiasan yang bukan kekal dan terpaksa mengikut syarat-syarat tuan rumah. Jika tuan rumah jenis okay, mudah kerja kita.
Tidak kisah jika anda tinggal bersendirian, bersama keluarga atau berkongsi dengan rakan-rakan, tip yang H.A berikan ini memang sesuai untuk di ikuti. Mari kita menghias rumah sewa tanpa perlu buat tuan rumah marah dan bising atau mungkin cemburu.
Ilusi Dinding
Kebiasaanya, tuan rumah melarang untuk kita mewarnakan kediaman. Jika dibenarkan sekalipun, kita terpaksa mengecat semula dengan warna asal (putih) apabila berpindah .Kos daripada kita dan ia sesuatu yang tidak berbaloi. Bagi yang sukakan dinding putih mungkin tiada masalah. Cabaran bagi mereka yang sukakan dinding bewarna.
Disebabkan itu, H.A berikan tiga tip ilusi dinding, yang tanpa perlu kita mengecatnya.
Tip 1. Boleh gantungkan beberapa gambar, lukisan abstrak dan gabungkan menjadi satu hasil seni yang besar.
Tip 2. Jika tiada views di ruang tamu atau ruang sekitar, gantungkan gambar seperti landskap atau flora fauna.
Tip 3. Pasangkan cermin yang berbentuk unik di dinding untuk memberikan ilusi ruang nampak luas.
Tip. 3.5 . Lekatkan pelekat dekorasi yang menarik dan mudah ditanggalkan seperti www.irkoreadeco.com
Jangan lupa langsir, kemasan untuk tingkap. Kini, terdapat pelbagai jenis langsir dan bidai ada di pasaran. Pilih sheer curtain jika rumah anda kekurangan cahaya dan tambahkan satu lapisan night curtain. Warna polos tanpa corak atau corak universal seperti damask pattern sesuai untuk semua tema.
Jika anda berpindah, kebarangkalian lebar dan tinggi tingkap mungkin tidak sama dan tidak sesuai di kediaman baru. Oleh itu, pilih berdasarkan bajet. Fabrik langsir boleh digunakan semula untuk fabrik seperti kusyen (jika sesuai).
Tutup Lantai
Bagi kemasan lantai pula, kehadiran permaidani dapat menutup kekurangan yang terdapat pada lantai asal. Jika anda berpindah, permaidani itu masih boleh dihamparkan semula di kediaman baru.
Lebih baik jika permaidani yang dipilih polos tanpa corak, supaya sesuai dengan semua tema dekorasi kita.
Lampu Ekstra
Biasanya lampu kalimantang atau downlight sudah disediakan oleh tuan rumah. Apa yang perlu kita tambah adalah lampu dekoratif seperti lampu meja, lampu lantai dan lampu dinding. Lampu mudah dibawa dan diangkat untuk dibawa pindah ke tempat baru.
Tambah Personaliti Dengan Aksesori
Walaupun duduk di rumah sewa, jangan simpan atau sorokkan personaliti anda. Tunjukkan karakter anda dengan hiasan dekorasi.
- Jika suka bercuti dan membawa pulang buah tangan, jadikan almari pamer dihiasi cenderahati perlancongan anda.
- Jika minat membaca, meja kopi boleh diletakkan buku-buku jenis coffee book.
- Jika suka warna dan corak, tambahkan warna pada fabrik perabot (diupholsterikan) dan aksesori seperti bantal, sarung kusyen, cadar cushion, throws.
Cara jimat. Pilih aksesori yang versatile , mudah diterima dengan semua tema. Seperti pasu putih yang boleh dikena dengan pelbagai jenis bunga. Supaya anda tidak perlu membeli apabila berpindah ke rumah baru.
Ruang Makan Dan Dapur
Kerusi makan boleh dicantikkan dengan sarung kerusi bercorak atau meja makan yang kosong boleh dimeriahkan dengan alas meja makan atau table runner.
Lengkapkan dengan meletakkan pelbagai jenis buah-buahan dalam mangkuk atau bunga di atas meja makan atau di kaunter dapur
Gunakan Apa Sahaja Ditangan!
Disebabkan tinggal di kediaman yang sementara, hiasan anda mudah untuk diubah-ubah. Oleh itu, jangan risau. Cuba mix & match dekorasi hiasan anda. Walaupun terdapat beberapa perkara yang anda tidak boleh ubah apabila menyewa, seperti warna asal kabinet, kaunter dapur dan built-in cabinet yang sedia ada. Tidak mengapa, gunakan apa sahaja yang ada!
Perabot Dua Dalam Satu
Bagi perabot pula, pilih jenis perabot yang pelbagai fungsi (dwifungsi). Contoh, kerusi ottoman yang boleh dijadikan meja kopi atau terdapat storan tambahan di dalamnya. Perabot sofa bed, seperti namanya, selain sebagai tempat duduk ia boleh bertukar menjadi katil.
Perabot jenis yang beroda amat membantu, jika tinggal di rumah sewa yang kecil dan sempit. Selain mudah digerakkan ia memberikan anda susun atur yang baru setiap kali perabot beroda dialihkan, tanpa perlu kita berpeluh dan mengeluh banyak 🙂
Tip. Pastikan perabot dan aksesori hiasan punya kotak asal disimpan elok. Supaya apabila berpindah rumah, mudah untuk dibungkus semula.
Selamat Berdekorasi!
p/s Jika inginkan kediaman rumah sewa kita lebih cantik tanpa perlu berbelanja lebih. Boleh memiliki ebook 77 Tip & Teknik Dekorasi Bajet di sini.
Kredit gambar : Plage Vinilos y Decoración ,sasoriza,joelmontes, bokeh burger, aepoc,
Hai, saya su…saya dah beli buku keluaran awak…saya rasa ianya sangat menarik dan banyak membantu saya dalam dekorasi rumah…terima kasih
Hi Su, terima kasih dan terima kasih kerana memiliki buku/ebook saya. Semoga rumah Su cantik dan ceria :). Harap dapat ikuti blog saya untuk tip-tip dekorasi tambahan.